Melaka negeri bersejarah. Kaya ilmu agama. Kaya budaya. Pemangkin semangat waja. Jatidiri anak watan, tinggi peradaban, berakhlak mulia, indah anak-anak bangsanya berbudi bahasa, tunduk patuh bersopan santun, senyum mempersona dan banyak lagi yang Angah hendak katakan. Angah harapkan semoga kekayaan ini terus terpelihara dan terpulihara. Bersilat, berjoget, berkompang, syair, gurindam, berdondang sayang, nazam dan banyak lagi. Syukur Angah kepada Ya Khaliq. Ayuh, mari kita bercerita tentang satu elemen teras budaya bangsa Melaka. Seni kompang.
Perkompangan di Melaka telah wujud sekian lama dan mula digemari sekitar tahun 1960-an. Selain daripada bersilat, anak-anak muda tempatan ketika itu menjadikan aktiviti berkompang sebagai aktiviti utama mereka. Justeru itu tidak hairanlah bahawa terdapat ramai 'orang lama' di Melaka dewasa ini masih menggemari kompang. Namun, setelah mengalami puncak kemasyhuran sekitar tahun 80-an, aktiviti perkompangan di negeri ini telah mula menampakkan penyusutan., mungkin disebabkan pertukaran zaman remaja ke zaman berumahtangga ataupun telah mula bertukar minat kepada aliran yang lain. Wallahu'alam. Alangkah rugi sesuatu bangsa itu, bila budayanya kian pupus. Namun kelunturan semangat terhadap kompang hanya seketika. Fasa melepas lelah agaknya. Pada awal tahun 2000 anak-anak Melaka seolah-olah sedar akan kepentingan untuk meneruskan kesinambungan berkompang. Bukan bermatlamat untuk imbuhan kewangan, tetapi minatnya mungkin atas kesedaran. Anak-anak Melaka sedar kepentingan yang wujud di sebalik berkompang. Berkompang dapat melatih menyayangi budaya bangsa, berzikir memuji Maha Pencipta dan RasulNya, beriadah mengeluarkan peluh, melatih jatidiri, membentuk akhlak/disiplin disamping dapat bermasyarakat khususnya ketika di majlis-majlis perkahwinan. Berkompang juga dapat memperkasa diri dengan ilmu budaya. Biarlah kompang yang dipalu itu koyak, retak... namun tidak direla harga diri dirobek. Kita bermaruah. Kita berbudaya. Letak kita bukan di bawah. Biar pada tempatnya.
Terdapat pelbagai aliran perkompangan yang wujud di Melaka dan di antaranya adalah seperti pasukan kompang EZHAR, pasukan kompang kelalang, pasukan kompang Irama, pasukan kompang Hadrah dan lain-lain lagi. Mereka sering diundang ke majlis-majlis seperti perkahwinan, sambutan tetamu kehormat, perasmian, berkhatan dan lain-lain lagi. Pada detik jam 8 malam 20 Oktober 2010, anak-anak Melaka berjaya mengharumkan nama negeri ini apabila melakukan paluan kompang seramai hampir 5500 orang sempena pengisyhtiharan Melaka Maju. Kejayaan ini juga diiktiraf di dalam buku Guinness Book of Record Malaysia. Pada hemat Angah, bukan sahaja Malaysia, malah seluruh dunia pun belum ada yang berkompang sebegitu ramai.
Aktiviti perarakan kompang di Melaka kembali segar dengan suntikan semangat baru. Kini kompang di Melaka mula disulamkan dengan pergerakan atau lebih popular dengan sebutan formasi. Semoga dengan adanya nafas baharu ini, ianya akan menyemarakkan lagi aktiviti perkompangan Melaka. Namun, janganlah sampai tradisi tak dijaga. Pertandingan kompang di Melaka juga acapkali diadakan. Syabas diucapkan kepada pihak pengajur yang sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat para pekompang Melaka. Penganjuran pertandingan kompang di antara sekolah-sekolah juga adalah penanda bahawa kompang semakin hari semakin bertumbuh. Semoga ada lebih ramai penganjur yang sudi tampil dan menggamatkan lagi kebangkitan berkompang ini. Ayuhlah kita bantu mereka. Terkini, anak-anak Melaka di bawah tajaan KEMAS telah berjaya merangkul pingat bergelar Juara Kebangsaan di Ihtifal Kesenian Islam (KEMAS) Peringkat Kebangsaan 2011. Tahniah Angah ucapkan.
Semoga kebangkitan ini akan berterusan. Angah minta membangunlah bersama-sama dan bersatulah. Membangunlah cara sihat, jangan ada perkelahian dan saling menjatuh. Bangsa kita bangsa mulia. Jagalah. Berkompanglah. Berjuanglah para pekompang sekalian. Tekad kita berkompang biarlah kerana Allah Taala. Insya-Allah, kalau tidak kita, mungkin anak-anak kita, kalau tidak mereka, mungkin cucu-cucu kita, dan apa yang diharap kelak akan tertubuhnya kompang satu Malaysia.
Semoga bertemu lagi.
Wabillahi Taufik wal hidayah. Wasallam.
Angah.
Wabillahi Taufik wal hidayah. Wasallam.
Angah.