Wednesday, 9 November 2011

Pakaian Seragam

Kayu bakar dibuat arang
Arang dibakar memanaskan diri
Jangan mudah menyalahkan orang
Cermin muka lihat sendiri


Kain batik selendang batik
Dipakai oleh si dara ayu
Pakaian berkompang biarlah cantik
Agar dimertabat seni Melayu
 
Angah ingin menyeru kepada semua penggiat kompang Melaka, ayuhlah kita mertabatkan kesenian kompang yang kita cintai ini. Ayuh kita daulatkan kembali seni ini. Ayuh kita letakkan di puncak. Tempat sepatutnya berdiri. Justeru itu, Angah berharap agar apabila kita berkompang kita seharusnya menitik beratkan penampilan kita, sebab penampilan memberi seribu makna. Biarlah cantik dipandang mata. Jangan buruk dikeji dihina. Pernah Angah saksikan, ada beberapa kumpulan kompang di Melaka berpakaian "tidak kena" dengan majlis. Para pekompang memakai baju t, seluar jeans, selipar Jepun dan yang lelaki tidak bersongkok merai pengantin "Raja Sehari". Apa dah jadi? Ada berzikir memuji Illahi, sedangkan nak daranya berkompang tidak bertudung, terunanya pula seluar koyak di lutut. Mungkin tak cukup zikirnya dihayati, sekadar menyanyi. Kajilah usul datangnya seni ini... mudah-mudahan dapat tahu asbab wujud seni ini.

Di manakah letaknya harga diri kesenian itu? Atau, adakah memang begitu. Tidakkah berasa malu? Nah, ayuh kita sama-sama merenung seketika, siapa kita. Apakah ada pada nama kita. Melayu kan. Pernah Angah bersembang mencari erti Melayu... Jawabnya mudah... bangsa yang taat pada Yang Satu. Hebat kan! Bangsa yang mempunyai akhlak mulia. Sudah tentu penampilannya juga mulia. Usahlah menuding jari. Kita perbetulkan kesilapan ini. Ayuhlah sama-sama kita berusaha agar kita dapat menaikkan nilai seni kompang yang kita sayangi. Semoga suatu hari nanti, kompang tidak dipandang lekeh... Kalau kita lekeh, orang akan memperlekeh. Kalau kita cantik, segak, tampan bergaya... Sudah pasti indah dipandang mata. Allah itu indah, sukakan keindahan. Itu pasti! Usahlah disemat di dalam hati... Niat di hati, nak seni terus dihormati.

p/s: Teringat Filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bertajuk Sumpah Orang Minyak.

Semoga bertemu lagi.
Wabillahi Taufik wal hidayah. Wasallam.
Angah.

Monday, 7 November 2011

Cara memegang kompang

Padi segemal kepuk di hulu
Sirih di hilir merekap junjungan
Kepalang duduk menuntut ilmu
Pasir sebutir jadikan intan

Kesenian kompang di Melaka didapati mempunyai keunikannya yang tersendiri. Keunikan ini berbeza-beza mengikut perguruan kesenian itu sendiri seperti cara memegang kompang, alatan sedak (lingkaran rotan ataupun wayar yang dimasukkan antara kulit kompang dan balohnya), cara selawat pembukaan, cara memalu kompang dan sebagainya. Apa yang menarik untuk dipaparkan di sini adalah cara memegang kompang. Cara memegang kompang mungkin mempunyai falsafah tersendiri.
Teruskan membaca untuk mengetahui...


Bunyi terhasil daripada paluan kompang boleh dipengaruhi oleh teknik memegang kompang. Para pekompang haruslah mengelakkan daripada memegang kompang sehingga melepasi bahagian hadapan baloh disebabkan ianya boleh menjejeskan kualiti bunyi terhasil. Cara memegang kompang lazimnya ada dua cara iaitu:-
i. menatang (ibu jari di dalam baloh, jari jemari lain di bawah baloh)
ii. membimbit (ibu jari di luar baloh, jari jemari lain di dalam baloh)


Ayuh kita perhatikan kemungkinan falsafah yang tersembunyi di sebalik cara-cara yang berbeza ini.
i. Cara menatang.
- kedudukan kompang di atas telapak tangan ertinya kesenian yang dibawa secara bersungguh-sungguh;
- ianya juga seperti menadah doa yang mungkin dapat disesuai ketika iringan berzikir semasa berkompang;
- kedudukan kompang dipastikan menegak - meletak kesenian yang dibawa agar tegak berdiri (bukan rebah);
- mudah memberikan isyarat mula / henti sesuatu acara perkompangan;
- dapat disandar di bahu sekiranya lenguh memegang ketika berdiri ataupun duduk.


ii. Cara membimbit
- kedudukan kompang dalam genggaman - seolah-olah mencerminkan kesungguhan dalam memelihara kesenian yang dibawa;
- dapat dikait juga dengan cara berdoa;
- sesetengah pendapat mengatakan mudah disesuai untuk bersilat (menumbuk dengan kompang) bila perlu;
- bila dinaikkan ke atas, seolah-olah menjunjung kompang (Awas! Kompang yang berlambang, mungkin kelihatan terbalik);
- dapat diletakkan di lantai ketika berkompang semasa duduk.


Maka, dapatlah disimpulkan bahawa cara memegang ini mempunyai falsafah dan kelebihan masing-masing. Namun adalah lebih baik diselaraskan cara memegang bagi sesuatu kumpulan agar nampak lebih seragam.


Semoga bertemu lagi.
Wabillahi Taufik wal hidayah. Wasallam.
Angah.

Thursday, 27 October 2011

Kompang Melaka

Melaka negeri bersejarah. Kaya ilmu agama. Kaya budaya. Pemangkin semangat waja. Jatidiri anak watan, tinggi peradaban, berakhlak mulia, indah anak-anak bangsanya berbudi bahasa, tunduk patuh bersopan santun, senyum mempersona dan banyak lagi yang Angah hendak katakan. Angah harapkan semoga kekayaan ini terus terpelihara dan terpulihara. Bersilat, berjoget, berkompang, syair, gurindam, berdondang sayang, nazam dan banyak lagi. Syukur Angah kepada Ya Khaliq. Ayuh, mari kita bercerita tentang satu elemen teras budaya bangsa Melaka. Seni kompang.

Perkompangan di Melaka telah wujud sekian lama dan mula digemari sekitar tahun 1960-an. Selain daripada bersilat, anak-anak muda tempatan ketika itu menjadikan aktiviti berkompang sebagai aktiviti utama mereka. Justeru itu tidak hairanlah bahawa terdapat ramai 'orang lama' di Melaka dewasa ini masih menggemari kompang. Namun, setelah mengalami puncak kemasyhuran sekitar tahun 80-an, aktiviti perkompangan di negeri ini telah mula menampakkan penyusutan., mungkin disebabkan pertukaran zaman remaja ke zaman berumahtangga ataupun telah mula bertukar minat kepada aliran yang lain. Wallahu'alam. Alangkah rugi sesuatu bangsa itu, bila budayanya kian pupus. Namun kelunturan semangat terhadap kompang hanya seketika. Fasa melepas lelah agaknya. Pada awal tahun 2000 anak-anak Melaka seolah-olah sedar akan kepentingan untuk meneruskan kesinambungan berkompang. Bukan bermatlamat untuk imbuhan kewangan, tetapi minatnya mungkin atas kesedaran. Anak-anak Melaka sedar kepentingan yang wujud di sebalik berkompang. Berkompang dapat melatih menyayangi budaya bangsa, berzikir memuji Maha Pencipta dan RasulNya, beriadah mengeluarkan peluh, melatih jatidiri, membentuk akhlak/disiplin disamping dapat bermasyarakat khususnya ketika di majlis-majlis perkahwinan. Berkompang juga dapat memperkasa diri dengan ilmu budaya. Biarlah kompang yang dipalu itu koyak, retak... namun tidak direla harga diri dirobek. Kita bermaruah. Kita berbudaya. Letak kita bukan di bawah. Biar pada tempatnya.

Terdapat pelbagai aliran perkompangan yang wujud di Melaka dan di antaranya adalah seperti pasukan kompang EZHAR, pasukan kompang kelalang, pasukan kompang Irama, pasukan kompang Hadrah dan lain-lain lagi. Mereka sering diundang ke majlis-majlis seperti perkahwinan, sambutan tetamu kehormat, perasmian, berkhatan dan lain-lain lagi. Pada detik jam 8 malam 20 Oktober 2010, anak-anak Melaka berjaya mengharumkan nama negeri ini apabila melakukan paluan kompang seramai hampir 5500 orang sempena pengisyhtiharan Melaka Maju. Kejayaan ini juga diiktiraf di dalam buku Guinness Book of Record Malaysia. Pada hemat Angah, bukan sahaja Malaysia, malah seluruh dunia pun belum ada yang berkompang sebegitu ramai.

Aktiviti perarakan kompang di Melaka kembali segar dengan suntikan semangat baru. Kini kompang di Melaka mula disulamkan dengan pergerakan atau lebih popular dengan sebutan formasi. Semoga dengan adanya nafas baharu ini, ianya akan menyemarakkan lagi aktiviti perkompangan Melaka. Namun, janganlah sampai tradisi tak dijaga. Pertandingan kompang di Melaka juga acapkali diadakan. Syabas diucapkan kepada pihak pengajur yang sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat para pekompang Melaka. Penganjuran pertandingan kompang di antara sekolah-sekolah juga adalah penanda bahawa kompang semakin hari semakin bertumbuh. Semoga ada lebih ramai penganjur yang sudi tampil dan menggamatkan lagi kebangkitan berkompang ini. Ayuhlah kita bantu mereka. Terkini, anak-anak Melaka di bawah tajaan KEMAS telah berjaya merangkul pingat bergelar Juara Kebangsaan di Ihtifal Kesenian Islam (KEMAS) Peringkat Kebangsaan 2011. Tahniah Angah ucapkan.

Semoga kebangkitan ini akan berterusan. Angah minta membangunlah bersama-sama dan bersatulah. Membangunlah cara sihat, jangan ada perkelahian dan saling menjatuh. Bangsa kita bangsa mulia. Jagalah. Berkompanglah. Berjuanglah para pekompang sekalian. Tekad kita berkompang biarlah kerana Allah Taala. Insya-Allah, kalau tidak kita, mungkin anak-anak kita, kalau tidak mereka, mungkin cucu-cucu kita, dan apa yang diharap kelak akan tertubuhnya kompang satu Malaysia.

Semoga bertemu lagi.
Wabillahi Taufik wal hidayah. Wasallam.
Angah.